Rabu, 12 September 2007

Semoga Allah Tunjukan kebenaran..




Oleh Amin Iskandar @ Black
Belum pun reda isu penternak babi di Paya Mengkuang dan isu Donal Luther Kolopita, pengadil karate dari Indonesia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menggemparkan rakyat dengan insiden dua rakyat Malaysia ditembak polis sewaktu berlakunya pertembungan antara polis dengan penyokong parti pembangkang di Pantai Batu Buruk, Terengganu.Insiden yang berlaku lapan hari selepas sambutan kemerdekaan negara yang ke-50 itu, dilabelkan sebagai rusuhan oleh pimpinan tertinggi Umno dan Barisan Nasional (BN).Ketua Polis Terengganu, Datuk Ayub Yaakob mempertahankan tindakan anggotanya melepaskan tembakan itu kerana mempertahankan diri dari penyokong pembangkang yang dikatakan mengganas dengan menggunakan kayu, besi dan batu.
Sewaktu pengusaha ternakan babi di Melaka menghalang petugas pihak berkuasa dan jabatan kerajaan daripada melupuskan ternakan mereka - apabila keadaan menjadi tidak terkawal dan dikhuatiri berlaku rusuhan - pihak polis mengarahkan para petugas tersebut supaya bersurai. Tetapi lain pula halnya dengan insiden di Pantai Batu Buruk. Kedua-dua mangsa yang terkena tembakan itu, kini masih lagi berada di hospital.
Suwandi Abdul Ghani terkena tembakan di dadanya (diberitakan baru sahaja menjalani pembedahan yang mengambil masa 4 jam untuk mengeluarkan peluru didadanya di HUSM, Kubang Kerian) dan seorang lagi Muhamad Azman cedera di leher dan kini dirawat di Hospital Kuala Terengganu.
Pertembungan antara polis dan penyokong parti pembangkang itu berpunca daripada tindakan polis membatalkan permit ceramah untuk program anjuran Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) di saat-saat akhir pada petang 8 September 2007 sebelum bermulanya ceramah.
Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Mustafa Ali dalam satu sidang media di Kuala Lumpur semalam, mendakwa tragedi di Batu Burok itu adalah konspirasi yang didalangi oleh Umno dan BN dengan kerjasama pihak polis untuk memberikan imej negatif kepada PAS dan parti pembangkang menjelang pilihanraya ke-12 yang akan datang.
Media arus perdana
Sementara itu, Ronnie Liu yang mewakili Bersih mendakwa, para wartawan akhbar berbahasa Cina telah memberitahunya bahawa pihak polis melarang mereka mengambil gambar dan ada kamera yang dirampas.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi pula mendakwa gambar-gambar yang disiarkan oleh media arus perdana, adalah dari kamera polis.
Apa pun yang sebenarnya berlaku, tindakan melepaskan tembakan untuk meleraikan perhimpunan adalah tidak berperikemanusiaan. Tambahan pula, ia berlaku di negeri Yang Dipertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin.
Umno dan BN, semuanya mempertahankan tindakan polis. Timbalan Presiden Umno, Najib Tun Razak mengatakan bahawa tindakan polis itu sah kerana mereka berdepan dengan perusuh.
Manakala di Parlimen semalam, wakil-wakil rakyat BN semuanya memuji tindakan polis yang dianggap cekap dalam menghadapi rusuhan.
PAS dan parti pembangkang harus membela penyokong mereka yang terkena tembakan. Pembelaan yang dilakukan haruslah sesuatu yang lebih serius.
Tindakan menghantar memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) atau Ketua Polis Negara, tidak akan menyelesaikan masalah. Memorandum yang ditulis dengan baik dan penjang berjela-jela hanya akan menjadi sia-sia apabila ianya tidak akan dilayan.
Saya percaya, semenjak penubuhan Suhakam pada 1999, telah beribu-ribu memorandum dihantar oleh parti pembangkang, badan bukan kerajaan (NGO), persatuan mahasiswa, kesatuan sekerja dan individu.
Tidak ada satu pun yang dipandang serius oleh kerajaan. Suhakam tidak seharusnya dipersalahkan oleh kerana mereka tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan tetapi hanya mampu untuk menasihatkan kerajaan.
Malahan, jika Suhakam memberikan cadangan atau nasihat kepada kerajaan bagi memperbaiki keadaan hak asasi manusia di Malaysia yang bertentangan dengan dasar Umno dan BN, suruhanjaya itu sendiri akan dicerca, contohnya, seperti apa yang berlaku kepada Pengerusi Suhakam yang pertama, Tun Musa Hitam tidak lama dahulu.
Tragedi yang berlaku di Pantai Batu Buruk adalah satu pendidikan politik yang terbaik untuk rakyat Malaysia. Slogan “mesra rakyat” yang digunakan oleh polis adalah retorik semata-mata. Tanyalah “Mat Rempit” bagaimana pengalaman mereka diganasi polis. Tanyalah penagih dadah bagaimana mereka dilayan apabila “berehat” didalam lokap polis.
Kampung baru
Kita juga boleh lihat bahawa ramai rakyat sudah semakin matang. Kalau dahulu orang Melayu, sebagai bangsa majoriti d negara ini, begitu mudah untuk diapi-apikan dengan sentimen perkauman, tetapi sekarang tidak lagi. Sudah ramai yang celik politik.
Ini dibuktikan pada tahun 1999, apabila orang Melayu menghukum Umno dengan memberikan undi majoriti mereka kepada parti pembangkang. Pilihanraya umum 1999 menyaksikan bendera DAP yang selama ini menjadi momok kepada orang Melayu, digantung di Kampung Baru.
Semua ini berlaku akibat daripada sikap polis yang menggunakan keganasan untuk masuk ke dalam rumah orang Melayu di Kampung Baru untuk mencari aktivis reformasi. Kebencian akhirnya bertukar menjadi simpati.
Kebebasan untuk mendapatkan maklumat di internet juga telah merobohkan monopoli berita yang selama ini hanya memihak kepada Umno dan BN.
Rakyat kini tidak lagi mudah untuk ditakut-takutkan dengan “momok-momok” rusuhan. Kini mereka sudah pandai bertanya dan mempersoalkan berita yang diterima.
Kini, keputusan di tangan parti pembangkang dan NGO yang memperjuangkan hak asasi manusia - sama ada mahu terus menunggu atau bertindak apabila hak rakyat dicabuli dan keganasan dilakukan.
Jumlah pengundi tidak berdaftar, majoritinya orang muda, menghampiri angka lima juta. Mereka tidak mendaftar oleh kerana banyak sebab. Selain daripada malas mendaftar, ramai juga yang merasakan mereka tidak mempunyai pilihan yang baik untuk dipilih.
Bagaimana mahu meyakinkan mereka? Tepuk dada tanyalah selera.....Artikel ini disiarkan di Malaysiakini.Com




dipetik : Tranung kite

Tiada ulasan: